25 Jun 2012

Menanti Bulan Jatuh Ke Riba..

Headline: 7,975 guru lepasan diploma dilantik Gred DG41
Publication: BM
Date of publication: Jun 24, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 012


BATU PAHAT: Seramai 7,975 guru lepasan diploma yang sudah menamatkan Program Pensiswazahan Guru akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dengan Gred DG 41 dalam tempoh terdekat.

Lantikan itu dibuat susulan kelulusan perjawatan baru itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Mei lalu selepas semua guru terbabit ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Keputusan itu membolehkan semua guru terbabit yang selama ini berada pada jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) disahkan ke jawatan PPPS dengan Gred DG 41.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata mereka yang terbabit adalah lepasan diploma yang sudah menamatkan Program Pensiswazahan Guru membabitkan Kohort 2, 3, 4 dan 5.

Katanya, kelewatan pengesahan jawatan mereka disebabkan Kementerian Pelajaran menunggu kelulusan Bahagian Perbendaharaan dan JPA untuk meluluskan perjawatan baru berkenaan, sekali gus menyebabkan guru yang sudah disiswazahkan terpaksa menunggu.

Setakat ini, beliau berkata, guru siswazah di sekolah menengah seluruh negara sudah mencatatkan 91 peratus, manakala di sekolah rendah pula berada pada kadar 39.8 peratus.

"Insya-Allah, matlamat mensiswazahkan semua guru akan tercapai sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang berakhir pada 2016," katanya selepas sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Parlimen Batu Pahat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa Sengarang, dekat sini, semalam.

Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sambutan Hari Guru ke-41 di Kuala Kangsar, Perak, mengumumkan 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikkan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini.

Februari lalu pula, Berita Harian melaporkan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan Gred DG41, walaupun melepasi temuduga sejak dua tahun lalu.

Keadaan itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing selama ini.

Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata seramai 66,124 guru lagi akan disiswazahkan menjelang 2016 dengan pengambilan baru bagi mengikuti Program Pensiswazahan Guru bermula September depan.

Tiada ulasan: