22 Jan 2012

SPBA Ditangguh Untuk Dikaji Semula

Beri tempoh 3 bulan

Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Bagi memastikan kepuasan hati semua pihak, terutama penjawat awam, kerajaan memberi tempoh tiga bulan kepada pasukan petugas khas Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan skim berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira semua pandangan, terutama kakitangan awam, berhubung SBPA.

“Banyak perkara yang kita dengar mengenai skim ini, namun kerajaan tidak sesekali melupakan apa yang mereka bangkitkan, justeru pandangan mereka perlu kita terima dan kaji dengan teliti untuk kebaikan semua pihak,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri dengan Pegawai dan Kakitangan Awam Kerajaan/Agensi Kerajaan Pahang, di sini, semalam.
Turut hadir dalam majlis dihadiri 7,000 penjawat awam seluruh negeri itu adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Baru-baru ini, Najib mengumumkan penangguhan pelaksanaan SBPA bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak berkaitan diadakan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, penangguhan itu bertujuan menyelesaikan isu dibangkitkan pihak tertentu berhubung pelaksanaan SBPA.
Beliau berkata, justeru pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dengan dianggotai wakil daripada pelbagai pihak seperti JPA, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) diberi tempoh tiga bulan untuk membuat semakan semula serta penambahbaikan untuk memantapkan skim berkenaan.

“Apa yang kita lakukan adalah untuk memuaskan hati semua pihak, terutama penjawat awam yang sememangnya menjadi kumpulan penting dalam negara,” katanya.
Najib berkata, penjawat awam adalah kumpulan penting negara kerana apa saja ‘agenda besar’ yang mahu dilaksanakan kerajaan bergantung kepada peranan dan sumbangan golongan itu.

Catatan : Harap sangat skim yang telah dikaji akan lebih baik..