15 Ogo 2011

Maklumat Untuk Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2012

Para pelajar Tahun 6 atau Darjah 6 sekolah kebangsaan yang akan menduduki UPSR 2010 dan berminat untuk memasuki Tingkatan 1 di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada tahun 2011 adalah dipelawa untuk membuat permohonan sekarang. Ketika ini terdapat 53 buah SBP di seluruh negara yang menyediakan tempat untuk pelajar Tingkatan 1.

Aliran

Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan dua aliran Sekolah Berasrama Penuh iatu aliran sains dan aliran agama. Setiap aliran SBP ini menawarkan sedikit perbezaan pakej mata pelajaran. Ketika ini terdapat 39 buah SBP aliran Sains dan 14 buah SBP aliran Agama di seluruh negara.

Pakej Mata Pelajaran

Pakej mata pelajaran yang ditawarkan untuk setiap aliran adalah seperti berikut;
Sains
Bahasa Melayu, English, Science, Mathematics, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam/ Moral, Bahasa Antarabangsa (Arab/ Jepun/ Jerman/ Perancis/ Mandarin)
Agama
Bahasa Melayu, English, Science, Mathematics, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam/Moral, Bahasa Arab (Komunikasi), Bahasa Antarabangsa (Jepun/ Jerman/ Perancis/ Mandarin)

Permohonan SBP Tingkatan 1 2011

  • Permohonan Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 1 2011 ini perlu dibuat dengan mengisi borang secara online di portal permohonan atas talian yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Pemohon dikehendaki mencetak Borang Permohonan ini sebanyak dua salinan. Salinan pertama perlu dihantar kepada guru besar sekolah asal pemohon dan salinan kedua dihantar kepada pengetua sekolah berasrama penuh (SBP) yang dipilih.

Tarikh Tutup

  • Permohonan untuk ke Tingkatan 1 SBP 2011 akan ditutup pada 15 Oktober 2010 dilanjutkan sehingga 22 Oktober 2010.
  • Keputusan permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 SBP 2011 ini dijangka akan diumumkan pada penghujung bulan Disember 2010.

Maklumat

Soalan Lazim Berkaitan Permohonan ke SBP

Berikut adalah soalan-soalan lazim mengenai permohonan ke SBP yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia :
  1. Apakah kriteria pemilihan murid ke SBP?Pemilihan murid SBP adalah berasaskan kepada syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu murid mestilah warganegara Malaysia, murid daripada Sekolah Kebangsaan sahaja, memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) dan aktif dalam kegiatan kokurikulum. Pemilihan juga berasaskan kepada pendapatan seisi keluarga dan diberikan keutamaan kepada murid luar bandar berbanding murid bandar dengan nisbah 70% : 30%.
  2. Bila keputusan pemilihan murid tingkatan satu ke SBP akan diumumkan?Keputusan ke SBP akan diumumkan dalam tempoh 45 hari bekerja selepas tarikh UPSR diumumkan dan keputusan akan dimaklumkan melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia http://www.moe.gov.my.
  3. Bagaimana untuk membuat rayuan, sekiranya gagal atau tidak pernah memohon secara online?Rayuan boleh dibuat secara online melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia http://www.moe.gov.my dalam e-rayuan. Sekiranya murid tidak memohon secara online sebelum ini, mereka juga perlu membuat rayuan secara online.
  4. Bagaimana sekiranya ibubapa/penjaga ingin menyerahkan surat/dokumen mengenai permohonan ke SBP?Surat/ dokumen boleh diserahkan ke Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster dan surat/dokumen itu akan dicop terima. Seterusnya surat/dokumen tersebut diserahkan kepada pengarah untuk diminitkan kepada sektor yang berkenaan.
  5. Mengapa anak saya tidak dipanggil untuk proses temuduga di SBP?Pemilihan ke SBP melibatkan dua cara iaitu 20% murid akan dipilih oleh pengetua SBP  dan 80% murid  akan dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Walau bagaimanapun semua cara pemilihan masih tertakluk kepada syarat dan kriteria yang ditetapkan. Pemilihan oleh pengetua pula lebih kepada memilih murid yang mempunyai bakat dalam bidang tertentu yang sesuai dengan kebitaraan (niche area) sekolah tersebut. Sekiranya anak tuan tidak dipanggil untuk temuduga, murid tersebut masih berpeluang ke SBP berdasarkan pemilihan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu sebanyak 80% tanpa temuduga.

Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh 2012



Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa permohonan secara online kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2012 akan dibuka pada 1 September sehingga 15 Oktober 2011.
Sementara menunggu permohonan untuk tahun 2012 dibuka dan sebagai panduan awal sila rujuk;
Jika setelah merujuk kepada pautan di atas dan masih mempunyai pertanyaan, sila hubungi Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia di talian telefon 03-83217400 atau faks 03-83217403.

14 Ogo 2011

Selangkah Lagi...Chong Wei




"Ini  peluang terbaik saya dan saya tidak akan melepaskannya (menjulang kejuaraan)," demikian tekad Lee Chong Wei sejurus membuktikan kejaguhannya mara ke final Kejohanan Dunia di Arena Wembley, malam tadi.
Tekad Chong Wei itu tidak sukar ditafsirkan selepas peluang keemasan menjulang kejuaraan berprestij buat julung kali itu kini berada di depan mata dan andai mempersiakannya, dia mungkin terus kempunan tanpa gelaran itu sepanjang kariernya.
Ini kerana, Chong Wei terpaksa menunggu dua tahun lagi sekiranya mahu memenanginya kerana kejohanan tahunan itu tidak dilangsungkan tahun depan berikutan penganjuran Sukan Olimpik 2012, apatah lagi usianya kini mencecah 29 tahun.

Selepas lima percubaan berakhir dengan kekecewaan, impian Chong Wei memenangi kejuaraan elusif itu buat julung kali dan menjadi pemain pertama negara menjulangnya sejak diperkenalkan di Malmo pada 1977, semakin hampir menjadi kenyataan apabila mempamerkan aksi bermutu ketika menewaskan juara bertahan, Chen Jin dari China 21-13, 21-9 dalam tempoh 43 minit pada separuh akhir, semalam.

“Selepas lima kali bermain, ini adalah perlawanan paling sukar tetapi saya gembira kerana mampu memenanginya. Lagipun, saya agak tertekan kerana ini aksi pertama saya di separuh akhir,” kata Chong Wei.

Ditanya mengenai permainannya yang agak mendatar pada awal set kedua hingga ketinggalan 1-5 sebelum menyamakan kedudukan 7-7, Chong Wei berkata, Chen Jin menukar corak permainannya.
“Selepas menyamakan kedudukan dan menyerap asakannya, saya tidak menoleh ke belakang lagi dengan mengasaknya dan lebih pantas mematikan bulu tangkis,” katanya yang belum tewas sebarang set dalam laluannya ke final.

Sementara itu, jurulatih Tey Seu Bock menyifatkan perlawanan menentang Chen Jin adalah persiapan terbaik Chong Wei untuk menghadapi final selepas tidak dicabar sengit sebelum ini.

“Walaupun mata diperoleh Chen Jin sedikit, dia sebenarnya memberi saingan dan tekanan kepada Chong Wei. Jadi, dia perlu lebih fokus andai mahu memenangi final esok (hari ini),” katanya.

Chong Wei akan menentang juara dunia tiga kali, Lin Dan pada final hari ini selepas Lin Dan mengalahkah Peter Gade Christensen 22-24, 21-7, 21-15 pada pertemuan separuh akhir kedua-dua pemain itu berlangsung awal pagi tadi.

Berita Harian

Ulasan : Selepas Chong Wei siapalah yang  akan meneraju Malaysia dalam badminton. BAM perlu buat tindakan yang lebih baik. Pasangan bergu langsung tak bermaya. Perlu beri peluang kepada bakat baru. Bakat lama sudah sejuk.